Akhbar Kosmo! pada 28 Mac lalu melaporkan penggunaan gajet elektronik yang terlalu lama merupakan antara faktor murid-murid sekolah di negara ini mengalami masalah penglihatan. Malah menurut Dr. Hoh Hon Bing, iaitu seorang pakar mata dari sebuah hospital swasta, “melihat gajet terlalu dekat secara berturut-turut dalam tempoh masa yang lama akan menyebabkan masalah rabun”.
Kajian mendapati tidak ramai kanak-kanak pada masa dahulu yang memakai kaca mata. Ini disebabkan oleh mereka tidak terdedah kepada gajet pada jarak dekat kerana lebih banyak bermain di luar rumah. Namun, jika dilihat dan diperhatikan masa kini, sangatlah jarang kanak-kanak mengisi waktu petang di luar rumah kerana mereka lebih memilih untuk bermain permainan di gajet ataupun menonton cerita di kaca TV.
Aktiviti melihat objek pada jarak dekat untuk jangka masa yang lama akan memberi tekanan kepada otot mata, sehingga menyebabkan masalah rabun. Seterusnya menyumbang kepada kadar rabun di kalangan kanak-kanak meningkat secara drastik zaman kini. Penggunaan gajet elektronik yang disarankan hanyalah selama 2 jam sahaja untuk satu hari dan elakkan anak-anak menggunakan gajet setengah jam sebelum tidur. Cahaya biru pada skrin gajet akan mengganggu kualiti tidur dan menyebabkan mata menjadi letih.
Sebagai ibu bapa dan guru-guru, kita hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak supaya tidak terlalu lama menghadap gajet. Paling penting, ibu bapa dan guru-guru sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Kurangkan penggunaan gajet ketika bersama keluarga agar fokus terhadap anak dapat diberikan sepenuhnya.